Ahad, 22 April 2018

Rafflesia Di Taman Larangan Gua Musang

NEGERI Kelantan mempunyai jumlah kawasan hutan yang luas iaitu 894,271 hektar (ha). Daripada kawasan seluas ini, 108,783 ha telah diwartakan sebagai Taman Negara atau Hutan Simpan.
Namun demikian, adalah didapati bahawa segala keindahan alam semulajadi di negeri Kelantan ini belum dibangun dan dipromosi secukupnya. Industri pelancongan di negeri tersebut terutamanya pelancongan alam semulajadi belum begitu terserlah berbanding dengan
negeri-negeri lain.

Kebanyakan kawasan pelancongan alam semulajadi yang dibangunkan adalah untuk kegunaan dan hanya mampu menarik penduduk tempatan dan pelancong domestik sahaja.
Terdapat pelbagai tempat yang berpotensi untuk dikembangkan bagi menarik pelancong ke Kelantan seperti pantai-pantai (Pantai Sri Tujuh, Cahaya Bulan, Sabak, Melawi, Irama dan Bisikan Bayu), jeram-jeram (Jeram Linang, Jeram Pasu, Bukit Bakar dan Lata Rek), Gunung Stong (Air Terjun Jelawang, gua dan hutan bukit dipterokarp), Tanah Tinggi Lojing, Taman Negara Kuala Koh dan Tasik Pergau.

Kudup Bunga Rafflesia
Sumber-sumber alam semulajadi ini sememangnya unik dan sekiranya diurus dan bangunkan dengan cara yang betul boleh dijadikan sebagai sumber bagi menarik kedatangan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Aktiviti sebegini akan dapat menjana kewangan negeri dan secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf sosial ekonomi penduduk di Kelantan.

Daripada senarai sumber pelancongan alam semulajadi yang ada, didapati bahawa bunga Rafflesia yang wujud di Lojing, Gua Musang mampu dipromosikan sebagai satu ikon pelancongan bertaraf antarabangsa dan seterusnya membuka satu dimensi baru pelancongan di Kelantan.

Bunga Rafflesia yang sememangnya unik ini telah dibuktikan oleh Sabah dan Bengkulu di Sumatera sebagai satu daya tarikan pelancong yang kuat di peringkat antarabangsa.

Bunga yang disifatkan sebagai bunga yang terbesar di dunia ini yang hanya terdapat di beberapa negara Asia Tenggara tertentu sahaja seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina sememangnya mampu menggamit pelancong dari seluruh dunia untuk berkunjung ke rantau ini.

Bunga Rafflesia yang terdapat di Lojing adalah daripada spesies Rafflesia kerrii yang hanya tumbuh di julat antara Selatan Thailand sehingga ke sempadan negeri Kelantan, Kedah dan Pahang sahaja.
Ini menambahkan lagi keinginan para pelancong untuk datang ke Kelantan.

Populasi Rafflesia kerrii yang terdapat di Lojing juga dipercayai populasi yang paling banyak ditemui di dunia dan keadaan semasa di Wilayah Selatan Thailand yang sedang bergolak mendorong pelancong untuk menjadikan Kelantan sebagai destinasi pilihan mereka.

Bunga Rafflesia adalah antara penemuan yang paling mengagumkan bagi ahli-ahli tumbuhan sedunia.
Penemuannya yang pertama pada tahun 1821 di Wilayah Bengkulu, Sumatera telah menjadi gempar di seluruh Eropah. Bunganya adalah yang terbesar di dunia.

Tumbuhan ini adalah sejenis parasit, tidak mempunyai batang dan daun.
Bunga Rafflesia belum berjaya dibiakkan secara komersial di mana ia hanya boleh tumbuh secara semulajadi dan bergantung hidup kepada tumbuhan perumah untuk mendapatkan makanan.

Tumbuhan perumah tersebut adalah sejenis akar pemanjat daripada kumpulan Tetrastigma sp.
Bunga ini juga hanya boleh dijumpai di rantau tropika Asia Tenggara sahaja.

Keunikan dan keindahan yang terdapat pada tumbuhan ini telah mendorong pelancong dari seluruh pelosok dunia untuk mengamati dan melihat sendiri tumbuhan tersebut di habitat semulajadinya.

Di Thailand, Indonesia dan Malaysia (khususnya Sabah dan Sarawak), kesedaran terhadap pemuliharaan kawasan Rafflesia, terutamanya bagi menarik perhatian pelancong adalah sangat tinggi.

Di Sabah, terdapat 83 tempat telah dikenalpasti wujudnya bunga Rafflesia. Sebahagian besar daripada kawasan tersebut telah giat dipromosikan sebagai kawasan pelancongan.

Malahan di Tambunan, 356 hektar kawasan hutan telah digazetkan sebagai kawasan pemuliharaan Rafflesia.
Di sini juga terdapat satu pusat yang pertama ditubuhkan di dunia berkaitan dengan Rafflesia bagi mengukuhkan usaha-usaha pemuliharaan dan tujuan pelancongan.

Pusat ini dikenali sebagai Pusat Informasi Rafflesia, Tambunan. Di Indonesia, Rafflesia amat disanjung tinggi dan diisytihar sebagai bunga kebangsaan negara republik tersebut.

Wilayah Bengkulu, Sumatera Barat telah dipromosikan sebagai bumi Rafflesia untuk menarik kehadiran pelancong.
Di Semenanjung Malaysia, terdapat beberapa kawasan yang telah menjadikan Rafflesia sebagai sumber tarikan pelancong seperti Hutan Belum di Perak dan Taman Negara Pahang.

Namun begitu, usaha-usaha khusus terhadap pemuliharaan Rafflesia adalah amat kurang.
Kebanyakan habitat Rafflesia hampir musnah dan mungkin akan pupus.

Walaupun sebahagian populasi Rafflesia tersebut terdapat dalam kawasan perlindungan, contohnya Taman Negara dan hutan simpan, tetapi ia tidak dijaga dan dilindungi dengan berkesan.

Pada awalnya, spesies Rafflesia kerrii hanya dianggap terdapat atau endemik di Thailand sahaja.
Namun kemudiannya beberapa lokasi spesies ini telah ditemui di Semenanjung Malaysia terutamanya di Kelantan.
Peta yang dipaparkan menunjukkan lakaran julat taburan Rafflesia kerrii di dunia.

Spesies ini hanya boleh ditemui di kawasan sekitar Selatan Thailand mengunjur sehingga ke sempadan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia iaitu ke sempadan Kedah, Perak, Pahang dan Kelantan.

Warna merah menunjukkan julat taburan Rafflesia kerrii di dunia dan ianya tidak boleh dijumpai di lain-lain tempat lagi
Kajian oleh Universi ti Malaysia Kelantan mendapati Tanah Tinggi Lojing merupakan salah satu tempat yang mempunyai populasi Rafflesia kerrii yang terbanyak di dunia.

Kudup Bunga Rafflesia


Lojing juga semakin dikenali sebagai destinasi yang popular untuk melihat bunga Rafflesia di Kelantan, terutamanya bagi pelancong yang datang dari arah Tanah Tinggi Cameron. Rafflesia di Tanah Tinggi Lojing terdapat di tiga tempat utama iaitu di Kg. Cedau (Post Hendrop), Kg. Kuala Rengi (Post Brooke) dan Kg. Jedip (Post Brooke).
Kebanyakan habitat Rafflesia yang ditemui adalah terletak berdekatan dengan tepi sungai, di kawasan yang curam dan berdekatan dengan pokok-pokok buluh.

Populasi paling banyak bunga Rafflesia dijumpai di Kg. Jedip, Pos Brooke. Sejumlah 20 populasi Rafflesia telah dikenalpasti di kawasan ini. Setiap populasi Rafflesia mengandungi 10 - 15 kudup atau kuntum.
Taburan Rafflesia adalah didapati mengunjur di sepanjang sungai dan anak sungai. Tempat ini merupakan destinasi pelancongan yang paling popular di Tanah Tinggi Lojing.

Beberapa habitat Rafflesia di kawasan ini didapati telah rosak dan aktiviti pelancongan yang dijalankan tanpa pengawasan rapi dipercayai menjadi salah satu daripada punca penyebabnya.

Kawasan yang paling banyak kudup Rafflesia dijumpai terletak berdekatan dengan Kompartmen 53, Hutan Simpan Sg. Berok, Gua Musang

Kebanyakan masyarakat orang asli yang tinggal di sekitar Lojing mengetahui tentang kepentingan Rafflesia kepada mereka.

Ada di kalangan orang asli yang menjadikan bunga Rafflesia sebagai sumber pendapatan utama mereka melalui aktiviti pelancongan.

Mereka berkerja sebagai penunjuk arah kepada pelancong untuk ke lokasi bunga Rafflesia.
Secara tidak langsung mereka memulihara dan mengawal selia populasi bunga Rafflesia di sekitar perkampungan mereka.

Terdapat juga segelintir orang asli yang memungut kudup Rafflesia untuk dijual kepada orang luar kerana ianya dipercayai mempunyai nilai perubatan.

Setiap hari secara puratanya, terdapat 20 hingga 30 pelancong asing yang singgah ke Lojing untuk melihat bunga Rafflesia.
Kebanyakannya adalah pelancong yang datang dari Tanah Tinggi Cameron, Pahang.
Pada masa ini, terdapat sejumlah empat operator pelancongan yang berpusat di Cameron yang giat mempromosikan Rafflesia di Lojing sebagai salah satu produk utama mereka.

Mereka menerbitkan brosur pelancongan dan menyatakan bunga Rafflesia yang terdapat di Lojing sebagai Rafflesia Tanah Tinggi Cameron.

Kedatangan pelancong asing yang ramai daripada pelbagai negara ke Lojing membuktikan potensi Rafflesia sebagai daya tarikan utama pelancongan.

Sehingga kini, masih belum ada lagi perancangan pengurusan yang tersusun dan garis panduan yang khusus bagi memulihara habitat Rafflesia di Lojing.

Pemerhatian di lapangan menunjukkan terdapat beberapa habitat Rafflesia yang rosak dengan teruk akibat aktiviti pelancongan yang tidak terkawal dan lain-lain.

Pemuliharaan Rafflesia di Lojing akan menjamin sumber pendapatan yang berterusan kepada masyarakat orang asli di kawasan sekitarnya.

Kewujudan bunga Rafflesia telah menyediakan peluang pekerjaan alternatif kepada orang asli melalui aktiviti-aktiviti pelancongan seperti menjadi pemandu pelancong, menjual kraftangan dan lain-lain.
Penglibatan masyarakat orang asli dalam aktiviti pelancongan adalah sangat penting dari segi penjagaan dan pemuliharaan alam semulajadi.

Ia secara tidak langsung akan mendidik masyarakat orang asli agar memulihara habitat Rafflesia bagi menjana pendapatan yang berterusan daripada menjualnya untuk mendapatkan keuntungan yang segera.
Bunga Rafflesia di Lojing adalah sangat berpotensi untuk dipromosikan sebagai tarikan pelancong di peringkat antarabangsa untuk berkunjung ke negeri Kelantan.

Sebelum Lojing dipromosikan secara meluas sebagai destinasi pelancongan, kawasan terdapatnya bunga Rafflesia perlu digazetkan terlebih dahulu bagi menjamin kelestariannya.

Universiti Malaysia Kelantan telah mencadangkan kepada kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan agar kawasan seluas 650 ha di Lojing agar direalisasikan sebagai Kawasan Pemuliharaan Rafflesia.
Aktiviti pelancongan yang berasaskan alam semulajadi seperti bunga Rafflesia sekali gus akan menjamin kelestarian flora dan fauna serta ekologi di kawasan ini.
Ia juga akan mengikis imej Lojing sebagai kawasan yang tercemar oleh isu-isu pembalakan dan konflik guna tanah.